This Too Shall Pass

THIS TOO SHALL PASS - No matter what our situation in life, eventually, things will change and it will be over. Tiada satu yang akan kekal melainkan Allah. Kehidupan kita di dunia ini adalah untuk kehidupan di akhirat sana. Berjuanglah untuk menuju jalan yang diredhai Allah. Just everything that THIS TOO SHALL PASS

Monday, 6 February 2012

Bermusafir Ke al-Munawwarah (Ziarah II)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Kesemuanya.....


Suasana selepas Subuh di Masjid an-Nabawi, Madinah al-Munawwarah

Perkongsian kali ini adalah sambungan daripada tulisan Bermusafir Ke al-Haram (Ziarah I) - sila klik di sebelah sekiranya teman-teman belum membacanya. Kali ini penceritaan akan bertumpu kepada sebuah kota yang lebih dikenali sebagai Kota Nabi iaitu Madinah Al-Munawwarah atau nama asalnya adalah Yathrib. Tulisan ini aku titipkan sebagai panduan dan tauladan yang barangkalinya boleh dikongsikan bersama-sama teman-teman pembaca. Sebelum aku melanjutkan perkongsian, aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Salam Malidur Rasul buat seluruh ummat Islam seantero dunia. Memperingati hari kelahiran Baginda Rasulullah SAW dengan memperbanyakkan selawat ke atas Baginda. Ingat, jangan tunggu saat Malidur Rasul untuk berselawat ke atas junjungan tetapi jadikanlah ia sebagai amalan harian dan beristiqomah lah.

Pemandangan SATU: Suasana di dalam Masjid Nabawi

Sekitar 9.40 malam, bas yang membawa peserta ziarah bergerak menuju ke Kota Madinah. Jarak dari Mekah ke Madinah lebih kurang 537km dan mengambil masa selama 6 jam untuk tiba di Madinah. Aku tiba sekitar jam 3 pagi di Madinah. Kebetulan, perhentian terakhir bas di Madinah hanya berdekatan dengan hotel ekonomi yang kebiasaannya dipenghuni oleh peserta ziarah daripada India, Pakistan, Bangladesh dan Indenesia. Seperti mana di Mekah, aku dan En. Amin masih bersama-sama dengan tiga lagi peserta ziarah dari Pakistan mengambil bilik untuk berehat seketika sebelum kami bergerak menuju ke Masjid Nabawi untuk mengerjakan solat subuh berjemaah. Jarak Masjid Nabawi dengan tempat penginapan kami lebih kurang 2km. Oleh kerana ini adalah kali pertama kami sampai di Madinah, aku dan En. Amin hanya mengikut Baber (seorang Pakistan yang turut berkongsi penginapan dengan kami). Bilik yang diambil kami cukup sederhana namun selesa dan berpadanlah dengan niat dan tujuan kami untuk berehat seketika dan bersiap sedia sebelum menghabiskan masa berziarah di sekitar Kota Madinah. Menjelang jam 5.30 pagi, kami berjalan melusuri bangunan-bangunan tinggi sebelum tiba di Masjid Nabawi. Alhamdulillah, akhirnya aku dapat melihat keindahan Masjid Nabawi dengan jarak pandangan yang dekat dan terasa begitu syahdu memikirkan betapa Allah telah memberikan aku peluang untuk berjejak di Masjid Nabi ini. Sykur alhamdulillah!.

Sila klik di Wikipedia (Bahasa, Indonesia dan English) untuk membaca tentang Madinah an-Munawwarah, kota paling suci yang kedua bagi ummat Islam.

Pemandangan DUA: Suasana di Raudhah

Setiap di antara kita pastinya ingin menjejakkan kaki ke Kota Madinah ini. Di sinilah terletaknya makam Nabi Muhammad SAW. Madinah adalah sebuah kota yang sarat dengan sejarah. Sejarah Rasululllah dan para sahabat. Alhamdulillah, aku telah berkesempatan menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Nabawi. Kami memilih untuk bersolat berdekatan dengan Raudhah (Taman Syurga) yang dipercayai/dikatakan menjadi salah satu tempat paling mustajab untuk berdoa. Selesai mengerjakan solat subuh, kelihatan setiap jemaah berpusu-pusu untuk masuk ke dalam Raudhah bagi mengerjakan solat sunat dan berdoa sebanyak yang mungkin. Aku hanya mengambil waktu yang ada memperbanyakkan zikir, berdoa, bersolat sunat dan membaca Quran. Sekitar jam 6.30 pagi, Baber membawa kami memasuki Raudhah. Jemaah semakin berpusu-pusu untuk berada di Raudhah. Raudhah atau Raudhatul Jannah adalah lokasi antara kamar/makam Nabi SAW dengan mimbar. Suatu tempat yang sangat mulia di dalam Amsjid Nabawi. Selain menjadi lokasi Rasulullah SAW dan para sahabat baginda beribadah dan tempat turunnya wahyu kepada baginda, ia juga merupakan taman syurga.

"Ruang antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga, dan mimbarku terletak di atas kolamku".

Untuk pengetahuan semua, sebelum kita berada di dalam Raudhah, terdapat peringatan dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu/Indonesia  yang telah diletakkan di hadapan laluan masuk betapa kita semua diingatkan agar tidak menolak-nolak sehingga boleh mencederakan jemaah yang lain. Setiap jemaah akan diberikan peluang untuk berada di Raudhah. Justeru, kita perlulah sentiasa bersabar dalam mengerjakan sesuatu. Alhamdulillah, kami berjaya berada di Raudhah untuk bersolat sunat, membaca Quran dan berdoa. Aku juga berkesempatan untuk berada di depan makam Rasulullah (pintu emas makam), Saidina Abu Bakar ra dan Saidina Umar bin Khattab ra.. Selesai mengucapkan salam dan selawat, kami perlu keluar dari Raudhah bagi memberikan peluang kepada jemaah lain dan sekitar waktu itu, Raudhah akan dibuka untuk jemaah wanita pula. Syukur alhamdulillah, pengalaman yang telah diperolehi di Masjid Nabawi dan Raudhah adalah suatu pengalaman yang cukup indah dan menggembirakan.

Sila klik di Raudhah Dalam Sejarah - Azhari untuk membaca berkenaan Raudhah, klik di Rasulullah SAW - Foto Eksklusif untuk melihat gambar-gambar eksklusif peninggalan Rasulullah SAW. Semoga bertambahlah kecintaan kepada banginda. InsyaAllah.....

Pemandangan TIGA: Suasana di luar Masjid an-Nabawi

Sekitar jam 8.30 pagi, kami bergerak meninggalkan Masjid Nabawi dan bergerak ke Al-Baqi', tanah perkuburan yang tidak berlebihan jika dikatakan paling mulia di antara perkuburan di dunia. Di perkuburan Baqi' ini menempatkan 10,000 jenazah termasuk para Ahlul Bit iaitu isteri-isteri dan anak-anak Rasulullah SAW, pasa sahabat dan para tabi'en. Perkuburan ini tidak pernah sunyi daripada dikunjungi oleh para pengunjung yang melaksanakan ibadat umrah dan ziarah. Rata-rata mereka ingin menikmati rasa cinta kepada para sahabat dan tabi'en yang telah banyak berkorban dan berjasa kepada perkembangan Islam. Berhubung dengan kelebihan perkuburan Baqi', Rasullah SAW pernah bersabda,

"Aku adalah orang pertama yang keluar daripada Bumi (ketika hari kebangkita), kemudian Abu Bakar, kemudian Umar, kemuadian giliran penghuni Baqi' yang akan berhimpun bersamaku. Kemudian aku menunggu penduduk Mekah sehingga penuh di antara dua Masjidil Haram".

Pemandangan EMPAT: Al-Baqi' - Semoga setiap di antara kita menginsafi akan kejadian kita

Teman-teman pembaca boleh melanjutkan bacaan berkenaan sejarah Al-Baqi' di Wikipedia, Al-Baqi' dan di Perkuburan Baqi'. Selesai menziarahi Al-Baqi', kami mengambil sebuah teksi ziarah untuk berziarah ke Masjid Quba. Masjid pertama yang didirikan oleh ummat Islam. Masjid di asakan oleh Rasulullah SAW sebelum baginda tiba di Madinah dalam hijrah baginda dari Kota Mekah. Teman-teman pembaca boleh melanjutkan bacaan dengan melayari di Wikipedia, Masjid Quba - Melayu dan English untuk mengetahui lebih lanjut akan Masjid Quba ini. Aku mengambil kesempatan untuk mengerjakan solat sunat di sini sebelum bergerak ke lokasi ziarah seterusnya. Kami tidak mempunyai banyak masa untuk berada di lokasi ziarah kerana teksi ziarah yang disewa kami sentiasa menunggu di luar untuk bergerak ke lokasi ziarah yang lain. Justeru, kami hanya berkesempatan untuk bersolat sunat dan berdoa seringkasnya ketika berada di lokasi-lokasi tersebut. Seterusnya kami meneruskan ziarah ke Masjid al-Qiblatain yang bermaksud masjid dua kiblat. Masjid ini merupakan antara masjid yang terkenal di Madinah. Masjid ini mula-mula dikenali sebagai masjid Bani Salamah kerana masjid ini dibangunkan dia atas bekas rumah Bani Salamah. Lokasi masjid ini hanya ditepi jalan menuju ke kampus Universiti Madinah berdekatan Istana Raja ke jurusan Wadi Aqiq atau di atas sebuah bukit kecil di utara Harrah Wabrah, Madinah. Pada permulaan Islam, ummat Islam melakukan solat dengan berkiblatkan ke arah BaitulMaqdis (nama lain bagi Masjidil Aqsa) di Palestin sehingga turunnya wahyu kepada Rasulullah SAW untuk memindahkan kiblat ke arah Masjidil Haram di Mekah. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun kedua Hijriah, pada hari Isnin di bulan Rejab sewaktu Zohor di Masjid Bani Salamah ini. Ketika itu Rasulullah SAW sedang mendirikan solat dan tiba-tiba turunlah wahyu seperti di dalam surah Al-Baqarah, ayat 14 yang bermaksud;

"Sesungguhnya Kami (seting) melihat mukamu mendongak ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya, dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Alkitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui, bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Tuhannya; dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan."

Setelah turunnya ayat tersebut dia atas, banginda menghentikan sementara solatnya, kemudian meneruskannya denagn memindahkan arah kiblat ke Masjidil Haram. Merujuk kepada peristiwa tersebut, lalu masjid ini dinamakan Masjid Qiblatain, yang ertinya masjid berkiblat dua. Teman-teman pembaca boleh menambahkan pengetahuan dengan melayari akan peristiwa ini di Wikipedia, Masjid al-Qiblatain. Setelah selesai mengerja solat sunat dan berdoa, kami bergerak ke destinasi terakhir iaitu ke Jabal Uhud.

Pemandangan LIMA: Masjid Quba - Masjid pertama yang didirikan oleh umat Islam dan diasaskan oleh Rasulullah SAW

Pemandangan ENAM: Masjid Qiblatain - Masjid yang mempunya dua (2) kiblat

Jabal Uhud (Gunung Uhud) adalah gunung batu bewarna kemerahan yang terletak di sebelah barat utara Kota Madinah. Bentuk Jabal Uhud seperti sekelompok gunung yang tidak bersambungan dengan gunung-gunung yang lain sementelahan umumnya bukit-bukit di Kota Madinah berbentuk sambung menyambung. Kerana itu, penduduk Kota Madinah menyebutnya Jabal Uhud yang bererti 'Bukit Menyendiri'. Jabal Uhud selalu dilewati oleh jemaah yang datang ke Madinah. Begitu juga aku, peluang yang ada tersebut telah menjejakkan kaki aku ke Jabal Uhud. Di bukit inilah terjadinya perang dasyat antara kaum muslimin melawan kaum musyrikin Mekah. Dalam pertempuran tersebut gugurnya lebih kurang 70 para syuhada seperti Hamzah bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi Muhammad SAW. Kecintaan Rasulullah SAW kepada para syuhada Uhud membuatkan baginda selalu menziarahinya hampir setiap tahun. Justeru, Jabal Uhud menjadi salah satu tempat penting untuk diziarahi. Anas ra meriwayatkan Nabi Muhammad SAW memandang ke Uhud sambil bersabda seperti tertulis di dalam HR. Muslim, No:1393 yang bermaksud,

" Sesungguhnya Uhud adalah gunung yang sangat mencintai kita, dan kita pun mencintainya."
Pemandangan TUJUH: Sekitar Jabal Uhud - Di sinilah terdapatnya makam para syuhada yang gugur ketika Perang Uhud

Disunnatkan ketika berziarah ke Jabal Uhud ini kita memberi salam kepada para syuhada Uhud serta mendokannya. Alhamdulillah, syukur alhamdulillah atas ruang masa dan kudrat yang telah dihadiahkan Allah sehingga aku telah berjaya menjejakkan kaki ke kota yang penuh sejarah ini. Teman-teman pembaca boleh membaca tentang Jabal Uhud dan Perang Uhud di Wikipedia - Mount Uhud dan di Ziarah di Jabal Uhud Makam Para Syuhada dan di Wikipedia - Battle of Uhud. Alhamdulillah, selesai menziarahi Jabal Uhud dan menyaksikan dengan pandangan mata sendiri makam para syuhada yang gugur sewaktu perang Uhud, kami kembali pulang ke Masjid Nabawi. Sesungguhnya perjuangan para syuhada dalam mempertahankan agama Islam seharusnya diteladani dan diinsafi semua. Bayaran yang dikenakan sewaktu aktiviti ziarah ke lokasi-lokasi seperti yang telah dinyatakan di atas adalah sebanyak SR40 (satu kereta sedan). Sebelum tiba di tempat penginapan, kami berhenti untuk sarapan. Setelah selesai segalanya kami balik ke bilik untuk berehat dan seterusnya bersiap-siap untuk menunaikan solat Jumaat berjemaah. Solat terakhir kami dalam episod ziarah kali ini. Jam 12 tengah hari, kami bergerak menuju ke Masjid Nabawi untuk bersolat Jumaat. Subhanallah, begitu ramai jemaah yang hadir, barangkali jumlah jemaahnya menghampiri satu juta orang. Ummat Islam membajiri Masjid Nabawi untuk beribadat kerana Allah. Alhamdulillah, aku dan En. Amin adalah di antara jemaah yang diberikan peluang oleh Allah. Setelah selesai bersolat Jumaat, aku keluar dari Masjid Nabawi dengan perasaan yang berbaur, rasa sedih dan pilu, turut hadir bersama adalah perasaan gembira dan syukur yang tidak berbelah bahagi. Kami perlu segera pulang ke tempat penginapan kerana bas yang membawa para peserta akan bergerak untuk pulang ke Khobar sekitar jam 3 petang. Di dalam perjalanan, sementelahan aku keluar dari Masjid Nabawi melalui pintu ke-22, aku dan En. Amin sempat membeli beberapa jenis buah kurma yang dijual di situ.

Pemandangan TUJUH: Kota Madinah an-Munawwarah, Kota Nabi

Sungguhpun episod ziarah ke Kota Mekah dan Kota Madinah ini singkat namun aku merasakan peluang masa, kesihatan dan kewangan yang telah dihadiahkan Allah sudahpun dimanfaatkan sebaiknya. Pastinya jika rezeki untuk bekerja di Arab Saudi ini lama, aku akan datang kembali untuk memanfaatkan setiap ruang bagi menimba pengalaman-pengalaman baru di Tanah Arab ini. Jutaan terima kasih buat keluarga di Malaysia yang senantiasa mendoakan kejayaan dan kesejahteraan hidup aku di sini. Tidak lupa juga kepada sahabat handai yang mengenali diri aku dan juga teristimewa buat dia yang sentiasa memberikan aku sokongan moral baik dalam gembira dan sedih. Ianya merupakan antara hadiah terhebat yang aku perolehi ketika ini. Semoga dalam perjalanan harian ini, aku bisa mengungkapkan kasih sayang dan cinta ini buat mereka adalah semata-mata kerana Allah. Semoga kujunganku ke Mekah untuk mengerjakan umrah dan ziarah di Kota Madinah diberkati dan diterima Allah. Terima kasih segalanya. Semoga aku sentiasa menjadi seorang yang tahu erti syukur, sabar dan istiqomah. Semoga juga doa-doa yang telah dipanjangkan daripada  keluarga, teman-teman, individu tertentu dimakbulkan Allah, insyaAllah.....

Sekian, terima kasih. Semoga teman-teman pembaca mendapat manfaat dan faedah daripada perkongsian ini. Semoga bertemu dalam perkongsian mendatang. Jazaka Allah.....



4 comments:

Amir Rayyan said...

Sedikit terlewat tp inilah perkongsian yg ditunggu...Semoga Allah beri kita semua peluang untuk kesini...InsyaAllah...

Abg,terima kasih utk perkongsian ini...Moga Allah selalu rahmati abg...insyaAllah...

Anonymous said...

salam dik,

tahniah!! alhamdulillah, kerana adik adalah di antara yg dilih oleh Allah swt utk menjejakkan kaki di sana..

terima kasih juga utk perkongsian ini..

smoga sgala yg adik lakukan dipermudahkan oleh Allah swt..

jaga diri bebaik dik,
-NoRiSh-
p/s : rindoo sungguh pada kamoo..

Wan Mohd Hidayat Wan Abdullah said...

Wan: Sama2 Wan....semoga Wan akan terpanggil dan dijemput Allah untuk mengunjungi tempat2 suciNya...

Kak Norish: Assalam akak. Where have u been?. Akak apa khabar?. alhamdulillah akak, rezeki saya awal tahun ini. Harap2 Allah permudahkan semua perancangan....amin.

Akak, sy rindu juga akak....

Anonymous said...

W'salam dik..

Akk kat sini alhamdulillah sihat..
alhamdulillah dik, rezki kamu dimurahkan oleh Allah swt..

Insyallah, semoga Allah swt murahkan lagi rezki kamu dan semoga segala perancangan kamu di permudahkan olehnya.. amin...

Ingat dik, setiap yg berlaku pasti ada hikmahnya...

Ingatlah dik..
Bila Allah swt cepat memakbulkan doamu, maka DIA menyayangimu..
Bila Allah swt lambat memakbulkan doamu, maka DIA ingin mengujimu..
Bila Allah swt tidak memakbulkan doamu, maka DIA merancang sesuatu yang lebih baik untukmu..
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah swt dalam apa jua keadaaan pun, kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaanNYA..

Jaga diri bebaik dik.. jgn sesekali lupa pada keluarga dan kepada Allah swt...

Aja2 fighting :D
-NoRiSh-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...