This Too Shall Pass

THIS TOO SHALL PASS - No matter what our situation in life, eventually, things will change and it will be over. Tiada satu yang akan kekal melainkan Allah. Kehidupan kita di dunia ini adalah untuk kehidupan di akhirat sana. Berjuanglah untuk menuju jalan yang diredhai Allah. Just everything that THIS TOO SHALL PASS

Monday, 30 January 2012

Bermusafir Ke al-Haram (Ziarah I)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Kesemuanya.....

"Wahai Tuhan Kami!. Jangan lah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya" - Surah Al-Imran: Ayat 8
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.....setinggi-tinggi rasa syukur aku panjatkan ke hadrat Illahi atas kurniaan kesihatan tubuh badan serta peluang yang singkat tempoh hari, berziarah ke Baitullah dan menjadi tetamu-Nya. Perkongsian kali ini adalah coretan sebuah perjalanan ringkas menjadi seorang musafir dalam mencari redha Allah. Dengan rasa rendah diri, perkongsian ini juga bukan bertujuan untuk berbangga diri dan sebagainya tetapi anggaplah ianya sebagai sebuah pengalaman dan panduan untuk kita semua menjadi hamba yang terpilih di sisiNya. Aku menyedari aku bukanlah seorang yang warak dan berpengetahuan tinggi tentang agama namun aku sentiasa diberikan rasa dan motivasi untuk mengetahui dan belajar apa yang tidak pernah aku ketahui.

Pemandangan (SATU) di sekitar Masjidil Haram - semoga ianya menjadi motivasi untuk semua menjadi tetamu Allah

Pastinya setiap di antara kita yang beragama Islam mempunyai niat dan cita-cita untuk mengunjungi Baitullah dan seterusnya menjadi tetamu Allah. Menjadi tetamu Allah dalam erti kata menziarahi Baitullah bagi menyempurnakan ibadat Umrah yang telah dikira wajib untuk pertama kali perbuatan buat seluruh ummat Islam. Berlandaskan kepada syarat-syarat yang telah digariskan, aku terfikir betapa syarat 'kesediaan diri' adalah syarat tambahan individu dan perkara ini barang kali tidak patut menjadi salah satu daripada syarat-syarat yang sedia ada. Syarat ini adalah syarat yang di'ada'kan oleh kita untuk menafikan atau melambatkan sesuatu kepergian. Sumber-sumber bacaan berkenaan dengan ibadah umrah (sila klik di Wikipedia (BM,Indonesia, English), di Tanbihul Ghafilin dan banyak lagi website berhubung ibadah umrah ini) - pastikan kalian klik dan membacanya. Membaca adalah jambatan ilmu!.

Sebelum aku melanjutkan buah fikiran di atas, kunjungan aku ke Tanah Haram baru-baru ini adalah kerana niat yang sudah terpasang awal sementelah ianya jatuh kepada perkara yang wajib dilakukan oleh setiap ummat Islam yang mampu. 'Awal' itu aku sandarkan kepada rasa tanggungjawab kepada agama dan niat itu menjadi membuak-buak setelah aku mendapat tahu bahawa aku akan dihantar bekerja di Arab Saudi pada penghujung tahun 2011. Atas kemampuan jarak, masa dan wang ringgit yang bersatu, alhamdulillah akhirnya kewajiban itu telah berjaya dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Baik dan sempurna yang jatuh pada penilaian peribadi. aku dan semoga ibadat umrah tempoh hari turut diterima dan diredhai Allah Ta'ala.

Kita mungkin sering mendengar perbualan dengan rakan-rakan atau apa sahaja bentuk perbualan berhubung ibadat umrah ini. Ramai di antara kita yang menolak atau melambatkan untuk mengerjakan ibadat umrah dengan memberikan alasan 'tidak bersedia' walhal syarat-syarat lazim dan hakiki sudah pun dipatuhi. Apakah yang dimaksudkan dengan 'tidak bersedia' ini?. Ini adalah antara kemungkinan-kemungkinan yang boleh aku nyatakan berdasarkan kepada lafaz 'tidak bersedia'.

1) Umur tidak cukup dewasa atau tua untuk pergi mengerjakan umrah - Life begins at 40. Is it true?. Kehidupan ini bermula apabila kita mula menanggung setiap dosa dan pahala atas perbuatan kita. Ada sesiapa yang boleh memberikan angka umur yang tepat untuk menolak keadaan 'tidak bersedia' ini?. tepuk dada tanyalah iman.....

2) Takut kerana banyak dosa. Takut tidak diterima Allah apabila menjejaki Tanah Haram - Ini adalah alasan yang paling famous. Apakah tindakan kita untuk menjadikan kita diterima Allah?. Kita sentiasa ada kesempatan waktu untuk bersiap sedia sebelum pergi mengerjakan umrah. Bukan hari ini kita niat/membuat keputusan untuk mengerjakan umrah dan esoknya kita sudah berada di Tanah Haram. Ini adalah kenyataan yang paling jumud. Apatah lagi kita yang berada di Malaysia. Sebelum kita pergi ke Tanah Haram, pastinya kita perlu melalui beberapa proses seperti pembelian tiket penerbangan, permohonan visa dan sebagainya. Dalam tempoh penentuan (visa ready, tiket penerbangan ready, penginapan ready), aku fikir kita sudah mempunyai masa yang mencukupi untuk bersiap sedia. Justeru jangan kita menggunakan alasan 'takut kerana berdosa' itu untuk menafikan atau melambatkan kepergian walhal sekali lagi aku nyatakan syarat-syarat lazim yang lain sudah pun kita patuhi.

Pemandangan (DUA) di sekitar Masjidil Haram - semoga ianya menjadi motivasi untuk semua menjadi tetamu Allah


Allah Maha Pemurah dan Allah Maha Penyayang dan Allah Maha Mengasihani. Begitu juga aku, sebelum ke detik  perjalanan menuju ke Tanah Haram, pelbagai rasa menyelubungi diri. Apatah lagi setiap hari sebelum ke tarikh perjalanan, aku ada banyak membaca artikel-artikel yang menceritakan pelbagai kisah panduan dan teladan daripada individu yang pernah berada di Tanah Haram seperti ada individu yang tidak sedarkan diri (koma atau pengsan yang lama) sebaik sahaja menjejaki Tanah Haram, ada yang tidak nampak akan Ka'abah, ada yang ditimpa pelbagai ujian dan musibah dan pelbagai kisah lagi. Kisah-kisah ini benar-benar menakutkan aku apatah lagi kita tahu apa yang kita lakukan sepanjang hidup kita ini. Kita bukan maksum dan semestinya kita ada melakukan dosa baik dosa-dosa kecil mahupun dosa-dosa besar. Justeru sebelum kita membuat keputusan yang nekad untuk mengerjakan umrah, kita perlu melalui proses pembersihan seperti memperkemaskan ibadat wajib seperti solat lima waktu, memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti berpuasa dan bersolat sunat hajat, tahajud, bersedekah dan lain-lain lagi, memperbanyakkan zikrullah dan memohon kemaafan daripada ibu bapa, teman-teman atau sesiapa sahaja yang kita fikirkan kita ada melakukan kesalahan baik secara sengaja mahupun tidak sengaja.

Peringatan untuk diri - Pastikan kita mengutamakan ibadat wajib sebelum kita terlalu bersungguh-sungguh melakukan amalan sunat. Ramai di antara kita yang rajin berpuasa sunat Isnin dan Khamis tetapi tidak pulak bersolat lima waktu. Ini adalah satu ironi. Justeru perkemaskanlah ibadat-ibadat wajib terlebih dahulu. Wallahua'lam.....

Pemandangan di dalam Masjidil Haram - Semoga ianya juga menjadi motivasi untuk kita semua menjadi tetamu Allah

Ini adalah kronologi ringkas perjalanan seorang musafir ke Mekah baru-baru ini. Aku dan En. Amin (rakan sepejabat yang turut mengerjakan umrah bersama aku) telah membuat keputusan untuk melakukan ziarah ke Mekah dan Madinah sementelahan kami mempunyai masa dan peluang. Kami pergi dengan menaiki bas (bas seperti bas Transnasional di Malaysia) melalui agen Al-Ameen yang menyediakan perkhidmatan kenderaan bagi tujuan umrah dan ziarah semata-mata. Penginapan tidak disediakan dan perlu diuruskan sendiri. Sesiapa yang berada di bandar Al-Khobar di sepanjang 18th street atau lebih dikenali sebagai Pakistani Street, kalian akan menjumpai banyak agen yang menawarkan perkhidmatan yang sama dengan harga yang berpatutan. Pakej ini juga dinamakan sebagai pakej perjalanan. Kami mengambil pakej tiga hari yakni Khobar-Mekah-Madinah-Khobar dengan harga 80SR. Bertolak pada hari Rabu dan kembali pada hari Sabtu. Masa perjalanan adalah lebih kurang 12 jam sejauh 1185KM. Ini adalah pakej lazim yang ditawarkan oleh mana-mana agen di sini. Kebanyakkan mereka yang menggunakan perkhidmatan agen sebegini adalah mereka yang berpendapatan rendah yakni mereka yang berada di Saudi sebagai tenaga kerja buruh pembinaan, perkhidmatan di hotel-hotel, pasaraya, restoran dan sebagainya seperti masyarakat Pakistan, India, Indonesia, dan Filipina yang beragama Islam. Tidak salah sekiranya kita mahu menimba pengalaman baru dan kebetulannya aku dan En. Amin hanya mampu dengan tawaran yang disediakan serta dengan peluang masa yang ada. Alhamdulillah, tanggal 25hb sehingga 28hb yang lalu, kami telah pun melalui suatu perjalanan yang cukup indah dan tenteram. Allah telah mempermudahkan urusan ziarah kami ke Baitullah sebagai tetamuNya dan seterusnya ke Madinah untuk meneroka sirah Rasulullah SAW. Kami bertolak lebih kurang jam 4 petang (waktu lazim bertolak) dari Bandar Al-Khobar.

Pemandangan (TIGA) di lewat petang dan di malam hari di Masjidil Haram

Perjalanan kami selama 12 jam itu hanya melalui gurun-gurun yang kelihatan tandus dan gersang. Kami perlu melalui Riyadh yang kedudukannya sejauh 420km dari Bandar Al-Khobar. Bas berhenti di tiga lokasi lazim sebelum tiba di Mekah. Selepas dua jam perjalanan, bas akan berhenti di perhentian pertama (masih di Eastern Province KSA, maaf aku tidak ingat akan tempatnya) untuk memberi peluang kepada peserta ziarah menunaikan solat jama' (maghrib dan isya') dan meneruskan perjalanan sehingga berhenti di perhentian singgah (seperti plaza Rehat dan Rawat di Malaysia) di Riyadh. Berhenti untuk memberi peluang kepada peserta ziarah makan malam. Dalam perjalanan tersebut, bas mungkin sesekali berhenti di mana-mana perhentian untuk mengisi minyak dan memberi masa kepada paserta untuk melunaskan hajat yang dikendong - kencing dan sebagainya. Pada jam 5.30 pagi, kami selamat tiba di Ta'if. Ta'if menjadi lokasi peserta ziarah untuk memakai ihram sebelum miqat di Qarnul Manazil (klik di Hidup Biar Allah Sayang untuk mengetahui tentang lokasi miqat). Sebaik tiba di Ta'if, aku sedikit terkejut dengan ratusan peserta ziarah yang berada di situ. Semuanya sedang bersiap-siap untuk mengena ihram. Terdapat lebih daripada 50 buah bas yang membawa peserta-pserta ziarah. Untuk pengetahuan, kelengkapan ihram turut dijual di Ta'if. Kami turut bersiap mengenakan ihram, bersolat subuh berjemaah dan menunaikan solat sunat ihram. Sewaktu berada di Ta'if, aku sempat berdiskusi dengan En. Amin bagaimana Rasullullah tiba di Ta'if bagi menyampaikan dakwah namun dihalau dan dikecam oleh penduduk Ta'if (klik di Wikipedia - Ta'if untuk menambahkan pengetahuan berkenaan Ta'if, dan di Sirah Muhammad Rasulullah SAW, Pemuda Ahli Sunah, dan Mukmin Portal untuk hijrah/dakwah Rasullullah di Ta'if). Kami bermiqat sewaktu di dalam perjalanan menuju ke Masjidil Haram dari Ta'if dan sepanjang itu aku hanya bertalbiah seperti mana yang dilakukan oleh peserta-peserta ziarah lain. Alhamdulillah, kini aku berada di dalam ihram yang sempurna. Aku wajib menjaga adab dan menjauhi perkara-perkara yang dilarang dan ditegah sepanjang berihram.


Kedai-kedai kecil yang menjual pelbagai barangan di sekitar Kota Mekah

Alhamdulillah, pada jam 7.45 pagi kami selamat tiba di Tanah Haram. Perasaan luar biasa menyelinap ke seluruh tubuh. Perasaan gembira, terharu dan teruja begitu hebat. Perasaan tidak sabar untuk berada di dalam Masjidil Haram. Bas menurunkan peserta ziarah berdekatan dengan Masjidil Haram. Benarlah, ibadah kerana Allah mengeratkan silaturrahim. Aku dan En. Amin sempat berkenalan dengan peserta ziarah yang berasal dari Pakistan. Sebaik tiba di Tanah Haram, kami bercadang untuk mencari sebuah bilik yang dikongsi seramai 6 orang untuk meletak barang-barang dan berehat jika wujudnya waktu senggang selama berada di Tanah Haram. Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan sebuah bilik yang selesa dan berpatutan dan lokasinya hanya 1km dari Masjidil Haram (sekiranya kalian memasuki Masjidil Haram melalui Marwah - terdapat banyak hotel-hotel ekonomi di sekitar sini). Harga yang di kenakan pula hanya 80SR. Setelah meletakkan beg dan berwuduk, kami terus menuju ke Masjidil Haram. Aku memberi tahu kepada Nasser (rakan baru kami yang menyewa bilik bersama-sama) untuk memasuki Masjidil Haram melalui Babus Salam (pintu paling afdal untuk memasuki ke Masjidil Haram - dari pintu ini, kita terus langsung dapat melihat Ka'abah, Hajar Aswad, Hijir Ismail dan Maqam Ibrahim). Nasser membawa kami ke pintu tersebut. Alhamdulillah, syukur alhamdulillah. Allah memperkenankan niat kami untuk masuk ke Masjidil Haram melalui pintu ini. Untuk pengetahuan, Nasser sudah 7 kali mengerjakan umrah. Kali ini beliau membawa pakciknya yang baru pertama kali datang ke Mekah untuk menunaikan umrah. Begitu juga aku dan En. Amin, pertama kali tiba di Mekah untuk tujuan yang satu, menjadi tetamu-Nya. Terima kasih Nasser!. Sambil berdoa, aku terus meluru masuk ke Masjidil Haram melalui Babus Salam dan secara tiba-tibanya kaki aku terhenti apabila mata ini melihat Ka'abah. Subhanllah, Alhamdulillah, Allahuakhbar!!!, air mata mudahnya menitis, perasaan sayu hadir menyentak akal dan jiwa. Aku bersyukur kehadrat Illahi kerana memberikan aku peluang untuk melihat dan menyaksikan rumahNya yang cukup indah dan mempersona. Sukar untuk aku gambarkan perasaan ini, namun percayalah dan bertanyalah kepada sesiapa yang pernah berada di Baitullah, aku yakin mereka turut melalui dan merasai pengalaman dan perasaan yang sama. Aku terperasan air mata yang mengalir di pipi En. Amin. Syukuku Ya Allah, syukur alhamdulillah.

Untuk menambahkan pengetahuan tentang Masjidil Haram, sila klik di Insani Travel. Terdapat info berkenaan pintu-pintu Masjidil Haram, Ka'abah, Hajar Aswad, Multazam, Hijir Ismail, Mihzab dan lain-lain.


Pemandangan (EMPAT) di Masjidil Haram - Jemaah menunggu maghrib, perbanyakkanlah berdoa ketika ini

Berbekalkan pengetahuan yang sudah diperolehi sewaktu masa persediaan di Al-Khobar. Aku bersegera menunaikan rukun umrahku iaitu tawaf. Selesai tawaf, dan bersolat di belakang Maqam Ibrahim, aku menuju ke Safa untuk meneruskan rukun umrah yang berikutnya iaitu saie. Selesai bersaie, aku bertahalul dan maka lengkaplah ibadat umrahku. Aku berdoa semoga Allah menerima kunjungan ke BaitullahNya bagi mengerjakan ibadat umrah pertamaku. Aku dan En. Amin melakukan umrah secara berasingan walaupun kami memulakan tawaf bersama-sama. Sebelum memulakan tawaf, aku terlebih dahulu menyatakan kepada En. Amin sekiranya kami saling tidak kelihatan dalam kebanjiran manusia yang mengerjakan tawaf, maka tidak perlulah mancari dan menunggu aku dan begitu juga aku. Kami mahu fokus dalam ibadat umrah ini. En. Amin mengiyakan dan bersetuju. Alhamdulillah, kami bertemu kembali sebaik sahaja selesai umrah kami di Babus Salam. Aku keluar melalui Marwah untuk bercukur di kedai gunting yang terdapat di situ. Sebaik aku dan En. Amin bertemu di Babus Salam, aku membawa En. Amin untuk bercukur di mana tempat aku bercukur sebentar tadi. Kami mengambil peluang untuk berjalan-jalan di sekitar Masjidil Haram sehingga ke Pintu Al Malik Abdul Aziz, pintu yang berdepan dengan hotel-hotel mewah dan The Abraj Al-Bait Tower, bangunan berjam yang tertinggi di dunia (sila klik di Wkipedia - Abraj Al-Bait untuk mengetahui tentangnya).  Kami mengambil wuduk dan masuk ke kembali ke Masjidil Haram dengan melalaui Babus Salam. Kali ini kami ke tingkat dua dan beriktikaf sementara menunggu zohor. Selesai zohor, kami membuat keputusan untuk balik ke bilik dan bersalin pakaian. Kami singgah makan tengah hari di sebuah kedai yang berdekatan dengan tempat di mana kami menginap. Alhamdulillah, setelah selesai mandi, bersalin pakaian, aku mengambil peluang untuk berjalan di sekitar tempat penginapan kami sementara En. Amin hanya berehat di bilik. Banyak kedai-kedai kecil di sekitar itu yang menjual pelbagai barangan seperti jubah, tasbih, minyak wangi, kitab dan Quran dan pelbagai jenis barangan lain dengan harga yang murah dan berpatutan. Kalian boleh tawar menawar di sini. Setelah  beberapa minit bersiar-siar di sekitar itu, aku kembali ke bilik untuk bersiap-siap kembali ke Masjidil Haram. Kali ini aku beriktikaf lebih lama sehingga ke waktu isya'. Aku tidak mempunyai banyak masa di sini, justeru peluang yang ada tidak boleh disia-siakan. Alhamdulillah, aku dapat beriktikaf di depan Ka'abah sehingga berjaya menunaikan solat Asar dan Maghrib dengan ribuan jemaah yang lain. Sebelum bergerak pulang, aku menunaikan solat jamak qasar isyak/maghrib dan melakukan tawaf wada'. Setelah selamat semua urusan ibadat di Masjidil Haram, aku bersegera pulang ke bilik untuk berkemas dan kembali ke dalam bas yang sudahpun sedia menunggu peserta-peserta ziarah untuk bergerak langsung ke Kota Madinah. Sekitar jam 9.40 malam, bas bergerak menuju ke Kota Madinah. Teman-teman pembaca, aku akan melanjutkan perkongsian tentang ziarah ke Kota Madinah dalam tulisan akan datang.


Pemandangan (LIMA) sekitar tempat beristirehat seketika di Kota Mekah

Yang Perlu Untuk Kita Fikirkan Bersama-sama

1) Barangkali aku tidak memperincikan tentang bagaimana aku melakukan tawaf dan saie. Mohon maaf atas khilaf ini. Apa yang lebih penting, setiap daripada perkara yang wajib, harus, dan sunat sewaktu mengerjakan umrah telah aku lunaskan sebaiknya dan semampu aku berbekalkan pengetahuan yang sedikit ini. Aku sengaja untuk tidak memperincikan perihal tawaf dan saie kerana aku yakin, link-link yang telah aku sediakan sewajarnya dilawati oleh teman-teman pembaca. Semoga kalian bersudi-sudian untuk ke laman-laman yang telah dinyatakan.

2) Sebaiknya, sewaktu tawaf dan saie, kita janganlah terlalu mengaharapkan akan panduan dan doa-doa yang tertulis di buku-buku panduan. Memang bukan mudah untuk menghafal doa-doa dan mengetahui maksud akan doa-doa yang terlibat namun apabila kita mengetahui rukun umrah, bagaimana melaksanakan umrah dan cara-caranya, insyaAllah berbekalkan niat yang tulus, doa-doa ringkas yang tersedia di ingatan juga doa-doa bersendiri daripada hati yang ikhlas, tawaf dan saie kita akan lebih sempurna dan fokus. Berdoa dan berzikirlah sebanyak kemampuan kita. Aku yakin dan percaya Allah memahami setiap apa yang kita doakan sekalipun kita berdoa dengan berbahasa Melayu. Mohon diperbetulkan sekiranya salah. Wallahualam......

3) Berlapanglah dada, kosongkan akal, jauhi daripada memikirkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya sepanjang berada di Tanah Haram. Janganlah terlintas akan perkara yang bukan-bukan seperti risau akan sesat, risau kehilangan barang dan sebagainya kerana apabila berada di Tanah Haram, urusan utama yang perlu dijadikan janji adalah urusan kita dengan Allah. Beristighfarlah sekiranya ada terlintas perkara-perkara yang tidak elok dan tidak baik. Sentiasalah berbaik sangka untuk setiap perkara yang dilihat, yang didengar dan yang dirasa.

4) Memperbanyakkan zikir, tahmid dan tasbih sewaktu dalam perjalanan. Tidak kiralah apa jenis kenderaan yang bakal kita naiki. Sesungguhnya, dengan zikrullah itu, Allah akan menghadiahkan kita kecergasan dan menghilangkan rasa letih dan penat akibat perjalanan yang panjang. Teruslah berzikir dan berdoa sepanjang berada di Masjidil Haram. Terdapat banyak lokasi-lokasi yang dinyatakan mustajab untuk berdoa. Kalian boleh merujuk dalam laman-laman yang telah dinyatakan. InsyaAllah......

5) Jangan menjadikan ziarah kita seperti perlancongan. Maksudnya, perasaan teruja untuk membeli belah lebih besar daripada rasa ingin berada dan beribadat di Masjidil Haram. Bukan kita tidak boleh berbelanja langsung namun berbaliklah kepada niat dan tujuan ziarah. Sekiranya mahu berbelanja, berhemah dan berpada-padalah mengikut kemampuan dan jangan berlebih-lebihan sehingga mendatangkan syak, fitnah dan takabur.

6) Hidayah itu adalah urusan Allah Ta'ala, jangan sesekali berfikir bahawa selepas mengunjungi Baitullah (atas urusan haji atau umrah) maka kita sudah bersih daripada segala dosa. Dosa-dosa yang telah dilakukan memerlukan taubat yang istiqomah. Sentiasalah bermohon, berdoa agar Allah menghapuskan dosa-dosa yang telah kita lakukan. Sekiranya berbuat salah dengan manusia, mohonlah ampun maaf daripada manusia itu terlebih dahulu sebelum memohon ampun daripada Allah Ta'ala seperti  yang sering kita dengar, redha Allah itu terletak pada dan dalam redha ibu bapa.

7) Sepanjang berada di Masjidil Haram, sebaik sahaja selesai menunaikan solat wajib berjemaah, aku turut dapat merasai melakukan solat sunat jenazah. Untuk pengetahuan, solat jenazah diadakan setiap kali sesudah selesai solat wajib sepanjang aku berada di Mekah. Maksudnya setiap hari dan waktu ada berlakunya kematian. Orang berpusu-pusu dan berebut-rebut untuk mengangkat keranda jenazah keluar dari Masjidil Haram ke tanah perkuburan. Bayangkan betapa besarnya nikmat muafakat dan pahala yang dijanjikan Allah.

8) Menjelang maghribnya di Masjidil Haram, buah kurma akan diagihkan kepada setiap jemaah yang hadir  dan untuk jemaah yang berpuasa sunat. Setiap daripada jemaah pasti akan diberikan kurma dan air minuman  pula disediakan di tempat-tempat tertentu. Orang yang berpuasa diraikan sebegini di Masjidil Haram. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakhbar!.

9) Sebagai pengguna iPhone, aku ingin berkongsi keistimewaan iPhone. Teman-teman yang menggunakan iPhone atau apa sajaha jenis smart phone, kalian bolehlah memuat turun aplikasi berhubung ibadat umrah. Ada yang percuma dan ada yang dikenakan bayaran. Tidak mahal harganya dan sekitar 1.99USD. Sekiranya kita boleh berbelanja beratus ringgit untuk sehelai baju, tidak menjadi pembaziran sekiranya kira membeli aplikasi ini. Sila klik di Teman Haji Mabrur untuk mengetahui lebih lanjut. Aku turut menggunakan aplikasi ini sewaktu mengerjakan umrah tempoh hari. InsyaAllah berguna. Lengkap dengan bacaan secara audio dan maksud berbahasa Melayu dan Inggeris. Terima kasih Ustaz TM Fouzy!.


Himpunan pemandangan-pemandangan indah di Masjidil Haram

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah...syukur alhamdulillah!. Secara kesimpulannya, ziarah baru-baru ini benar-benar dipermudahkan Allah. Aku tidak mengalami sebarang kesulitan dan masalah sepanjang berada di perjalanan dan di Tanah Haram. Begitu juga dengan En. Amin, syukur alhamdulilah. Semoga perkongsian kali ini dapat dimanfaatkan oleh teman-teman pembaca seterusnya menjadi motivasi buat semua. Semoga kita semua sentiasa diberikan peluang untuk menjadi tetamu Allah apabila syarat-syarat yang telah digariskan oleh syariat telah dipatuhi. InsyaAllah.....akhir kalam sudah bersediakah kita untuk menjadi tetamu Allah? - Tepuk dada tanyalah iman!.

Sekian, terima kasih dan Jazaka Allah.....

11 comments:

[tErOmPaH bIrU] said...

subhanallah! alhamdulillah! :)
ya lah kelebihannya bila Wan berpeluang kerja sejauh nun.. dekat jak nak mengerjakan umrah dan insyaallah haji kelak.. terima kasih berkongsi pengalaman.. tersentuh rasa hati melihat gamba2 dan cerita yang Wan kongsikan d'ctok :D
Andai berkesempatan pergi lagi, doakan lah semoga suatu hari nanti Along jua akan sampai ke sana, insyaallah :)

Amir Rayyan said...

Allahuakbar...Sungguh indah segala rasa yg sarat dalam cerita ini...Moga Allah terus rahmati abg dan semua....Berdoa utk turut sama rasai keberkatan bumi Al-Haram..Allahumma ameen...InsyaAllah..

Wan Mohd Hidayat Wan Abdullah said...

Along: Alhamdulillah Along...Apa khabar along di sana?. Harapnya baik2 selalu. Syukur alhamdulillah Along.....perkara yang sudah tertulis, wan lakukan atas apa yang mampu. InsyaAllah along....insyaAllah along juga akan ke sana...


Wan: Syukur Wan, rezeki abg. Alhamdulillah....insyaAllah wan pasti akan ke sana juga kelak. Perbanyakkan doa dan mengingati Allah....

zara said...

Wan, terima kasih byk2 kerna berkongsi pengalaman. Insya Allah, I will go there too..soon. Mudahan Allah permudahkan & beri kesempatan untuk menjadi tetamuNya. Ameen.

Thanks memanjangkan doa I, Wan. Thanks so much.

Wan Mohd Hidayat Wan Abdullah said...

Kak Zara: You're most welcome my dear sister. InsyaAllah, setiap org akan diberikanNya rekezi dan peluang untuk menjadi tetamuNYA asal ada niat, kemahuan, kesungguhan dan usaha. Jgn lupa untuk tidak putus berdoa.....minta Allah mempermudahkan jalan ke sana....

aziekz said...

peace,.blog ni mengingatkan arwah blog jay..sahabat time blajar..selalu ada criter..kritikan yg diterima pakai..penuh manfaat peringatan utk ssapa yg m'bc..:)

Wan Mohd Hidayat Wan Abdullah said...

Aziek: Pertamanya terima kasih kerana sudi membaca blog ini. InsyaAllah, apa yang baik kita akan kongsi sama. Sy ucapkan selamat maju jaya buat saudari...

Ad Rifza said...

Alhamdulillah...ALLAH berikan kelapangan utk dayat ke sana..syukur..Abg tataulaa bila bleh pegi..:-( ..Moga dayat beroleh kepuasan dlm mencari redhaNYA selain beribadah kepada ALLAH..

Mak Su said...

alhamdulillah, dah sampai ke sana

Wan Mohd Hidayat Wan Abdullah said...

Ad: Alhamdulillah Abg Ad. InsyaAllah setiap di antara kita pasti diberikan peluang ke sana....bykkan berdoa ye...


Maksu: Alhamdulillah Maksu.... :)

m e c x said...

Assalamualaikum...
Allahuakbar indahnye masjidil haram...
& indahnye dpt jadik tetamu Allah :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...