This Too Shall Pass

THIS TOO SHALL PASS - No matter what our situation in life, eventually, things will change and it will be over. Tiada satu yang akan kekal melainkan Allah. Kehidupan kita di dunia ini adalah untuk kehidupan di akhirat sana. Berjuanglah untuk menuju jalan yang diredhai Allah. Just everything that THIS TOO SHALL PASS

Friday, 31 December 2010

Yang Putih Itu Bukan Warna

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.....

Image Hosting by PictureTrail.com

Masa bergerak terlalu pantas dan tidak terasa tahun 2010 sudah pun berada di penghujungnya. Esok adalah titik permulaan untuk tahun baru. Perkara yang tidak dapat ditolak dan ditahan melainkan atas kuasa-Nya. 'Yang Putih Itu Bukan Warna' adalah kesimpulan kepada perkongsian aku garapkan untuk pembaca-pembaca bagi menilai kembali perilaku dan tindakan kita sepanjang tahun 2010 ini. Dalam perkongsian ini, fokusnya adalah 'aku'. Perjalanan merentas jalan kehidupan dengan memperlihatkan diri sebagai seorang yang kuat dan tabah, seorang yang baik dan perihatin namun persoalannya 'adakah itu benar aku?'. Aku bergelut dengan emosi untuk perkongsian kali ini. Dalam menyatakan yang tidak dan ya, dalam menyatakan yang benar dan salah, aku putuskan untuk membongkar sifat dan sikap secara keseluruhan dengan mengharap aku sendiri yang akan memperoleh pedoman dan pengajaran. Siri ini bukan bertujuan membuka pekung di dada dan bukan juga mengaibkan diri sendiri tetapi ini adalah perkongsian ikhlas daripada aku buat pembaca-pembaca semua.

Image Hosting by PictureTrail.com

Aku soroti detik kehidupan seawal Januari sehinggalah detik ini sewaktu aku masih berada di Miri sehingga aku pulang ke Kuantan. Mudah atau tidak mudah menjadi jujur adalah perkara yang terlalu subjektif. Jujur itu dalam kata yang mudah adalah tidak menipu. Apabila kita menipu maka kita sudah tidak jujur kepada mereka yang ditipu dan tidak jujur pada diri sendiri. Apabila memikirkan tentang ujian Allah, aku seolah-olah boleh meletakkan signifikan ujian Allah itu sebagai bentuk balasan awal atas ketidakjujuran kita. Itu adalah balasan di dunia!. Justeru atas kekhilafan itu, aku dengan serendah hati memohon ampun dan maaf kepada teman-teman di Miri terutamanya kepada bekas teman serumah aku sepanjang aku berada di Miri atas penipuan/pembohongan secara sengaja mahupun tidak sengaja dan atas apa jua bentuk pembohongan dan tujuan pembohongan. Dengan rasa rendah diri juga aku unjurkan maaf ini buat teman-teman sepejabat, teman-teman rapat di Miri andai dalam pengzahiran cerita, cereka, dan gurau, 'tipu' juga yang menjadi dasar. Maaf dengan sungguh!.

Bagaimana pula dengan sombong dan bongkak?. Kenapa kita perlu takbur?. Itu lah aku. Sifat keji yang barada dalam diri yang memberi kesan kepada penghidupan hari ini. Memperlihatkan rasa bongkak dan takbur dengan tujuan untuk berada sama hebat dengan meraka yang hebat. Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku!. Maaf kuhulurkan kepada mereka yang berhak, kepada adik beradik sekalipun ianya berlangsung dalam gurau dan senda. Aku kufur kepada nikmat pemberiaan dan rezeki-Mu. Aku berbelanja tanpa meletakkan keperluan sebagai justifikasi. Aku bermegah dengan rezeki yang diberi. Aku kurang memberi kepada mereka yang lebih memerlukan, aku tidak menyempurnakan zakat pencarianku, aku melakukan pembaziran dan banarlah aku selalu kufur atas nikmat pemberian-Mu. Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa hamba-Mu ini. Semoga rasa sesal ini membawa pengajaran dan pedoman kepada diri aku dan pembaca. Maaf dengan sungguh kepada mereka yang menjadi mangsa takbur dan bongkak ku. Maaf kepada mereka yang menjadi cacian dan kejian ku. Maaf kepada mereka yang menjadi magsa fitnah ku. Maaf dan maaf!.

Image Hosting by PictureTrail.com

Pembaca-pembaca yang dihormati. Perkongsian ini adalah perkongsian yang benar. Ramai di antara kita yang menyatakan Allah itu memberi ujian atas kapasiti yang kita miliki. Pernahkan kita terfikir bilamana kita menerima dan mendapat ujian bertali arus. Selepas satu dan satu dan satu. Bagaimana mungkin kita boleh menghubungkan kapasiti diri dengan ujian yang bertali arus ini?. Makanya, kita perlu bermuhasabah, kita perlu melakukan analisis. Ujian yang datang adalah kerana dosa-dosa dan sikap alpa kita kepada-Nya. Jika kita tidak diberi musibah dalam bentuk kesakitan fizikal, kita akan diberi kesusahan dalam menjalani kehidupan seharian. Jika kita tidak diberi-Nya musibah dan ujian, maha adil Allah itu mengunjurkan ujian-ujian dan musibah itu kepada kaum keluarga kita, kepada mereka yang dekat dengan kita. Perbuatan jahat kita telah memalit rasa susah dan derita kepada mereka yang kita sayangi dan senangi. Adakah perkara ini baik bagi kita?. Tidak!. Tidak sesekali!.

Bila kita berbicara tentang tanggungjawab dan amanah, adakah kita telah patuh dan sedang patuh dengan tanggungjawab dan amanah. Aku, sekali lagi berdosa kerana sering memperlekehkan akan tanggungjawab dan amanah. Tanggungjawab dan amanah kepada-Mu, tanggungjawab kepada ibu bapa, tanggungjawab kepada kaum keluarga, tanggungjawab kepada mereka yang berhak. Aku, terus berdosa kerana mengabaikan amanah. Amanah kepada diri sendiri, amanah kepada janji dan rahasia. Ya Allah, khilafku adalah atas ketidaksempuraan aku. Dosaku atas kejahilanku kepada-Mu. Engkau berikanlah aku petunjuk, taufik dan hidayah-Mu. Aku memohon dan berdoa agar Engkau memberkati kehidupanku, kehidupan keluargaku, guru-guruku, sahabatku, dia yang Engkau anugerahkan dan seluruh muslimin dan muslimat. Ya Allah, terimalah doa dan harapan daripada hamba-Mu yang berdosa ini. Ampunkanlah aku yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah ini. Semarakkan rasa iman dan hijrah ini Ya Allah. Benarlah, 'Yang Putih Itu Bukan Warna'.....

Image Hosting by PictureTrail.com

Aku, bersyukur atas usia dan nyawa ini. Aku, bersyukur atas ruang dan peluang ini. Bagaimana rasa syukur?. Jika syukur, kenapa munafik?, jika syukur, kenapa masih mungkar?, jika syukur, kenapa khianat?. Aku bukan seorang yang baik dalam memperincikan erti syukur. Syukur ku adalah pada lidah tapi tidak kepada perbuatan. Pembaca-pembaca yang dihormati. Setiap hari kita mengucapkan syukur atas segalanya yang kita miliki. Kita bersembahyang, kita berpuasa, kita berzikir, kita bertahmid tetapi adakah perkara yang kita lakukan ini telah menghindarkan kita daripada melakukan sesuatu yang sebaliknya. Kita diberikan hidayah tetapi kita tidak diberikan taufik. Taufik yang akan menghidarkan kita dan yang akan menetapkan iman kita kepada-Nya. Aku tidak bercerita tentang sempurna kerana kita manusia tidak sempurna. Berbalik kepada perilaku kita, adakah kita berusaha menghampiri titik sempurna. Tidak!, tidak aku katakan. Dalam kita bersolat, kita masih membuat keji. Dalam kita berpuasa, kita masih tidak amanah. Dalam kita berzikir, kita masih menjunjung hasad dan bongkak. Subhanallah, jahilnya hamba-Mu ini.

Teman-teman pembaca, seperti yang telah aku katakan, perkongsian ini bukan tujuan membuka aib sendiri. Ini adalah perkongsian agar aku memperoleh manfaat dan kesedaran. Hidup yang jatuh bangun adalah lumrah. Aku berpegang kepada asas kesabaran. Jangan kalian menajdi seperti aku. Sehebat mana kita manusia, berbaliklah kepada perkara-perkara asas. Berbaliklah kepada-Nya. Allah Maha Pemurah lagi Maha Pengampun. Jika aku telah gagal hari ini, aku akan bangkit. Rasa takut untuk berjanji, takut untuk kesekian kalinya termungkiri. Namun usaha aku tetap di situ. Semoga aku mampu mencerap setiap ujian yang telah diberikan. Buat pedoman diri dan sahabat sekelian. Teman-teman, andai ada nanti tanggapan negatif atas perkongsian ini, aku terima seadanya. Aku akan belajar menghormati dan aku akan belajar erti redha. Doaku untuk detik-detik terakhir tahun ini agar diriku, ibu bapa dan keluarga, guru-guruku, sahabat handaiku, dan anugerah Allah sentiasa beroleh kelapangan dalam kehidupan mendatang. Bersamalah kita berdoa dengan istiqomah agar amalan kita diterima-Nya. Sekali berbuat dosa, jangan lupa untuk memohon keampunan-Nya. Semoga tahun baru ini akan membuka lembaran baru buat semua teman-teman dan begitu juga diri aku, harapan tinggi ini adalah tertakluk pada janji kebajikan dan tanggungjawabku kepada ibu bapa, adik beradik dan anugerah Allah. Semoga kami semua peroleh kemudahan untuk itu.

Image Hosting by PictureTrail.com

Maaf atas segalanya. Ampun atas segala khilaf. Mohon dihalalkan makan, minum dan pemberian. Mohon dihalalkan ilmu dan perkongsian. Mohon diikhlaskan rasa kasih dan sayang. Mohon untuk terus berdampingan dengan anugerah Allah kerana mencintai Allah adalah dengan mencintainya. Terima kasih kepada kedua ibu bapa atas kewujudan ku dengan kuasa Maha Pencipta. Terima kasih buat adik beradik yang setia walau apa yang berlaku. Terima kasih buat guru-guru yang memberi ilmu. Terima kasih kepada teman-teman atas perkongsian dan pertolongan mengenal erti hidup. Terima kasih buat semua atas doa-doa dan kata-yang yang menjadi perangsang untuk lebih berjaya. Terima kasih kepada cinta kerana terus berada dalam diri ini sekalipun aku tidak layak untuk cintamu. Terima kasih semua!

Aku, 'Yang Putih Itu Bukan Warna'...kerana warna itu indah dan aku si 'Putih' yang tidak indah.


3 comments:

Amir Rayyan said...

Ameen Ya Rabb....

InsyaAllah,moga Allah redha dengan kita semua abg...

Jaga diri,moga 2011 adalah lebih baik......

Terima kasih atas segala kata semangat dan nasihat...

Moga Allah memberi rahmat...insyaAllah...

Ad Rifza said...

Mana mungkin manusia sempurna dalam segala...Setiap dari kita ada saja khilaf dan dosa...Sifat manusia yang sering alpa dan leka dengan kehidupan dunia yg sementara..Ruang lingkup dunia ini luas kita tidak terkurung dalam satu situasi sahaja..kadang2 ada situasi yang menerobos diri dan memusnahkan diri..tapi kita harus bersyukur jika kita diberi sedar dalam tindak kita.Moga kesedaran itu menjadikan kita manusia yang lemah ini lebih baik dari hari2 semalam..Moga ALLAH kekalkan diri kita selepas diberikan petunjuk..INSYALLAH...

@rep said...

salam wan... it's been a while kan..

hope u r doing great there..

do keep in touch k

xoxo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...