This Too Shall Pass

THIS TOO SHALL PASS - No matter what our situation in life, eventually, things will change and it will be over. Tiada satu yang akan kekal melainkan Allah. Kehidupan kita di dunia ini adalah untuk kehidupan di akhirat sana. Berjuanglah untuk menuju jalan yang diredhai Allah. Just everything that THIS TOO SHALL PASS

Friday, 22 June 2007

Horizon: NGO negara Islam perlu aktif bantu Asia Barat

PERPECAHAN Palestin dan kekejaman di Iraq – dua berita mengejutkan dunia pada minggu ini. Kedua-duanya berlaku di dunia Islam dan bertitik tolak kepada politik.

Di Palestin, walaupun terpaksa hidup atas ihsan musuh, Hamas dan Fatah masih terus bertelagah merebut tanah sekangkang kera, iaitu Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

Sejak seminggu lalu, Hamas berjaya mengusir Fatah dari Gaza dan kini menguasai kawasan sempit itu sepenuhnya.

Fatah pula menyingkirkan kerajaan perpaduan pimpinan Hamas dan menubuhkan kerajaan darurat di Tebing Barat yang belum dan tidak mungkin mendapat sokongan Parlimen Palestin yang dikuasai Hamas.

Apakah kesan perkembangan berkenaan? Negara Palestin kini pada ambang berpecah dua. Di Tebing Barat, Palestin Fatah disokong Barat dan juga dunia Arab, terutama jiran terdekatnya Mesir dan Jordan.

Manakala, di Semenanjung Gaza, Palestin Hamas dianggap musuh oleh hampir semua di sekelilingnya, bakal menjadi negara militan kecil yang boleh mengancam keselamatan negara jiran. Apakah kesannya kepada rakyat Palestin.

Rakyat Palestin Tebing Barat yang tidak bebas kerana tentera Israel bebas keluar masuk ke kawasan itu, sekurang-kurangnya mempunyai makan dan minum. Namun, ia diancam pencerobohan dan keganasan. Jika dulu hanya dari Israel, kini juga dari Palestin Hamas.

Bagi Palestin Hamas pula, penduduknya yang sebelum ini di dalam keadaan terdesak berikutan sekatan ekonomi oleh Israel dan Barat, akan menjadi lebih sengsara.

Bukan hanya musuh Yahudi dan sekutunya di Barat akan mengenakan sekatan, tetapi juga hampir semua negara Arab kini sudah mula mahu menyisih Hamas. Akibatnya, 1.4 juta manusia di Semenanjung Gaza bakal menghadapi krisis kemanusiaan, ketandusan makanan, perubatan dan mungkin juga api, air dan minyak.

Lantas, berjaya juga rancangan musuh negara Arab memecahbelahkan Palestin dan melenyapkan peluang bangsa itu untuk mendapatkan semula tanah mereka dirampas Israel.

Berikutan itu, Fatah dan Hamas tidak boleh terus bertelagah. Mereka tidak harus membiarkan Palestin berpecah dua. Segala kepentingan politik patut diketepikan dan kedua-dua pihak harus sepakat mencari jalan keluar daripada persengketaan sekarang. Jika mereka gagal, apakah masih wujud harapan bagi kita untuk melihat negara Palestin yang merdeka?

Satu lagi persengketaan politik tidak berkesudahan ialah di Iraq. Banyak sudah dibaca mengenai kekejaman dilakukan atas nama memperjuangkan hak puak, mahupun Sunnah atau Syiah. Kali ini, kita dikejutkan pula kekejaman oleh mereka yang tidak lagi bersifat manusia.

Seramai 24 kanak-kanak istimewa di Rumah Anak Yatim Al-Hanan di Barat Laut Baghdad, dijumpai hampir seperti ‘mayat hidup’ yang telanjang bulat dan bergelumang dengan najis sendiri kerana tidak larat untuk bangun, malah membuka mata sekalipun. Seorang kanak-kanak itu ketika diselamatkan tentera Amerika, menjilat tangan tentera itu mungkin kerana terlalu lapar dan haus.

Penjaga mereka – pegawai dilantik Kerajaan Iraq – melarikan diri ketika rumah itu diserbu. Di dalam pejabatnya dijumpai berkotak-kotak bekalan makanan yang mungkin diperuntukkan untuk kanak-kanak itu, tetapi disalah guna pegawai berkenaan.

Mengapa kekejaman ini boleh berlaku? Ia sekali lagi bertitik tolak kepada politik, iaitu politik Syiah dan Sunnah. Bagi mereka yang berkuasa di Iraq, keupayaan tidak lagi menjadi pertimbangan dalam perlantikan pegawai di bawah mereka. Sebaliknya, pegawai dilantik atas dasar kepentingan puak.

Lambat-laun terlantiklah pegawai seperti penjaga Rumah Anak Yatim Al-Hanan yang mungkin tidak layak menjadi manusia, apatah lagi menjadi penjaga anak-anak istimewa.

Kekejaman di Rumah Anak Yatim Al-Hanan harusnya menggerakkan seluruh insan berfikir sejenak sama ada kita turut bersubahat membiarkan perkara itu berlaku.

Apakah sumbangan kita selama ini sebagai membantu kanak-kanak di Iraq, mahupun di Gaza dan Tebing Barat atau Afghanistan yang sudah bertahun-tahun menderita? Mengapakah selama ini kita tidak teringat untuk bertanya mengenai keadaan rumah anak yatim di negara berkenaan?

Bersyukurlah ada pertubuhan seperti Operation Iraqi Children yang ditubuhkan oleh pelakon Forrest Gump, Gary Sinise dan penulis, Laura Hillenbrand pada 2004.

Sekurang-kurangnya rakyat Amerika mempunyai saluran untuk berbakti kepada kanak-kanak Iraq. Mengapa negara Islam tidak mempunyai NGO seperti itu. Apakah kita lebih gemar melihat dan bercakap? Atau apakah kita juga terlalu sibuk dengan politik untuk tidak lagi hirau nasib anak yatim di negara seperti Iraq.

2 comments:

final solution said...

Hurm.. memikirkan keadaan yang berlaku di negara luar membuat kita insaf, tp betul juga.. tidak cukup sekadar itu, apa pula peranan kita?

~wan hidayat~ said...

final solution: kita masih muda..jd lakukan sesuatu yang dapat menyumbangkan ke arah kemantapan ekonomi dan politik negara....yang plg penting back to basic...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...